Khamis, 18 Februari 2010










JANGAN SAMBUT VALENTINE!
"Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya
sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri" (maksud Hadis) Nabi
Muhammad s.a.w. merupakan Rasulullah yang bertanggungjawab menyebar
Islam kepada umatnya setelah melalui pelbagai keperitan dan kejerihan.
Paderi St. Valentino pula merupakan seorang paderi utama yang hidup
pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dan merupakan antara orang
terpenting yang menjatuhkan dan menzalimi umat Islam Cordova, Sepanyol
pada zaman lampau. Rasulullah lahir pada 12 Rabiul Awal manakala
tarikh kejayaan St.Valentino dan konco-konconya menawan Cordova
daripada umat Islam ialah pada 14 Februari. Tetapi pelik sungguh,
tarikh 14 Februari lebih senang untuk diingati berbanding 12 Rabiul
Awal itu sendiri.

Setiap tahun 14 Februari diingati sebagai Hari Kekasih yang di
kalangan sesetengah umat Islam amat rugi jika dilupakan. Hari ini ia
sekali disambut lagi dengan pelbagai acara yang dianggap oleh pasangan
kekasih paling istimewa. Ada yang saling bertukar-tukar bunga ros,
mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin,
bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga dan sebagainya. Ada pula
yang berpendapat, Hari Mengingati Kekasih juga adalah untuk mengingati
orang lain yang dikasihi selain daripada kekasih seperti ibu bapa dan
sebagainya. Tanpa mengira sama ada sidang pengarangnya terdiri
daripada umat Islam atau tidak, ada media yang mengucapkan Selamat
Hari Valentine, menganjurkan Pertandingan Hari Valentine malah ada
juga media Melayu tempatan yang menganggap Hari Valentine sebagai
lagenda pada tajuk salah satu rencananya. Malah ada juga media
elektronik yang mewujudkan satu program hiburan sempena Hari Valentine.

Siapakah sebenarnya orang yang bernama Valentine ini sehingga diangkat
begitu agung sekali dan di kalangan umat Islam sendiri popularitinya
melebihi Rasulullah? Pensyarah Perbandingan Agama, Akademi Islam,
Universiti Malaya, Khadijah Mohd. Hambali berkata, Valentine atau nama
sebenarnya St.Valentino merupakan seorang paderi yang paling
berpengaruh di zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol.
Kedudukannya dikatakan di tempat kedua selepas Pope. Kaitannya dengan
Hari Valentine yang disambut oleh masyarakat dunia hari ini termasuk
di kalangan umat Islam sendiri mempunyai dua versi.

Versi pertama ialah dia merupakan orang terpenting Ratu Isabella yang
berperanan menumpaskan kerajaan Islam Cordova, Sepanyol. Jasanya itu
dianggap oleh Ratu Isabella sebagai amat bermakna sehingga Valentino
dianggap kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu 14 Februari ditetapkan
sebagai cuti umum di samping hari untuk merayakan kemenangan tersebut
setiap tahun sekaligus mengenangnya sebagai mengingati St. Valentino
sebagai rakyat Cordova. Sehingga ke hari ini, peristiwa kemenangan St.
Valentino tersebut terus diingati dan rakyat Cordova mengingatinya
semula dengan melakonkan semula kejayaan tentera Ratu Cordova Isabella
itu.

Menurut versi kedua pula, St. Valentino sebelum kejayaan itu dikatakan
mempunyai dua orang kekasih. Kekasih pertama dikatakan beragama Islam
manakala yang kedua beragama Kristian berfahaman Protestan. Oleh
kerana berlainan agama, St. Valentino terpaksa melupakan kekasih
pertama dan menumpukan perhatian kepada kekasih kedua. Apabila ditanya
Ratu Isabella apakah bentuk ganjaran yang boleh dikurniakan berikutan
kejayaannya mengalahkan umat Islam, St. Valentino terus menyatakan
yang dia ingin berkahwin dengan kekasih keduanya itu. Ini terus
menimbulkan kegemparan di kalangan rakyat Cordova sendiri kerana
Valentino merupakan paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan
pengamal Protestan sementelahan lagi paderi sememangnya tidak boleh
berkahwin.

Ratu Isabella pula dikatakan murka dengan hasrat St. Valentino lantas
memenjara paderinya itu buat sementara waktu. Begitupun, baginda tetap
mahu cuba mengingati jasa paderinya itu dengan menetapkan 14 Februari
sebagai Hari Mengingati Kekasih yang diuntukkan khas untuk St.
Valentino sendiri.

Berdasarkan kedua-dua versi itu, apakah asas yang kukuh sehingga umat
Islam sendiri menganggap Hari Valentine itu begitu istimewa
lebih-lebih lagi pada bulan Syawal yang mulia ini. Atau pun, mereka
hanya mengikut budaya Barat secara membuta tuli sedangkan tidak
mengetahui siapakah sebenarnya St. Valentino itu.

Jika pun ingin mengingati kekasih atau orang-orang yang disayangi yang
lain, tidak semestinya ia disambut pada setiap 14 Februari. Sambutan
boleh juga dijalankan pada setiap kali tibanya hari kelahiran
orang-orang yang disayangi melalui acara-acara yang lebih diredhai
seperti mengadakan kenduri doa selamat atau sebagainya. Rasulullah
sepatutnya lebih diingati setiap tahun kerana Baginda adalah manusia
yang paling mencintai umatnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan